Thursday 17 November 2011

Melukis dan Mewarna Pokok




Tumbuh-tumbuhan atau pokok adalah salah satu daripada benda ciptaan tuhan dan banyak dihasilkan dalam karya-karya seni yang berasaskan landskap.

Teknik melukis pokok

1. Melukis struktur pokok. Mengenal pasti jenis pokok yang hendak dilukis dan menghasilkan lakaran ringkas struktur batang dan ranting dengan mengunakan pensel yang tidak terlalu gelap dan tekanan yang perlahan.



2. Melukis garisan luaran pada pokok dan memperjelaskan lagi struktur daun dan kanopi pokok tersebut


3. Sekiranya tidak diwarnakan, langkah seterusnya ialah dengan menggunakan garisan, memasukkan ton iaitu arah cahaya dan bayang bagi menampakkan bentuk pokok tersebut. Seterusnya memperinci setiap bahagian-bahagian pokok dengan jalinan pada daun, dan kulit pada batang pokok.


Mewarna Pokok (Teknik Cat Air)

1. Mulakan mewarna dengan warna yang paling terang (cerah terlebih dahulu) iaitu kuning kehijauan.



2. Campurkan warna yang gelap sedikit demi sedikit bagi menampakkan kesan bentuk dan ton bagi bahagian-bahagian yang terlindung cahaya.


3. Perinci bahagian pokok dengan menyapu warna yang semakin gelap seperti hijau gelap atau campuran biru gelap.


4. Warnakan bahagian batang pokok dengan warna coklat. Perinci bahagian jalinan, dahan dan ranting pokok.



Video pilihan teknik melukis dan mewarna pokok

1. Melukis pokok

2. Mewarna Teknik Catan Cat Air

3. Mewarna Teknik Poster / Cat minyak

Wednesday 9 November 2011

Gubahan Warna

 


Gubahan Warna
Sewarna, warna harmoni dan warna penggenap


Sewarna
1. Sewarna adalah gubahan yang menggunakan satu warna dalam beberapa ton atau dikenali sebagai warna monokrom.
2. Sewarna dapat dihasilkan dengan campuran satu warna dengan hitam bagi mendapatkan kesan gelap dan putih bagi mendapatkan warna cerah.

kumpulan warna sewarna


sewarna pada alam sekeliling

gubahan sewarna pada getaran air

gubahan sewarna di persekitaran

Warna Harmoni

1. Warna harmoni merupakan kumpulan warna-warna yang seakan-akan sama atau warna yang berada di dalam satu keluarga atau di dalam suhu warna yang sama.
2. Warna harmoni biasanya terletak bersebelahan atau berdekatan dalam roda warna.
3. Contoh kumpulan warna harmoni :
i. merah, merah jingga, jingga dan kuning jingga.
ii. biru, biru hijau, hijau dan kuning hijau.
iii. biru, biru ungu, ungu, merah ungu dan merah
4. Warna-warna harmoni akan menimbulkan perasaan selesa dan tenang.
5. Kebiasannya warna-warna harmoni digunakan dalam rekaan hiasan dalaman, corak tekstil, hiasan dinding dan sebagainya.



kumpulan warna-warna harmoni

warna harmoni pada rekaan bunga yang bersuhu panas

organisasi warna harmoni dalam rekaan yang sejuk

Warna Penggenap

1. Warna penggenap pula merupakan warna yang terletak bertentangan dalam roda warna.
2. Campuran warna penggenap akan menghasilkan warna neutral.
3. Pasangan warna penggenap ialah:
i. Merah dan hijau
ii. Biru dan jingga
iii. Ungu dan kuning
4. Kombinasi warna-warna penggenap dalam sesebuah karya akan menimbulkan rasa getaran, suasana yang riang, kontra, seperti ada pergerakan.
5. Warna-warna harmoni juga sesuai digunakan untuk penghasilan logo, poster, kegunaan iklan dan sebagainya.

kuning dan ungu

hijau dan merah

jingga dan biru
kumpulan warna-warna penggenap

warna penggenap gabungan jingga dan biru pada bunga dan langit

gubahan warna penggenap pada hiasan dalaman

gubahan warna penggenap pada hiasan

Monday 7 November 2011

LUKISAN

 


Pengenalan

1. Lukisan adalah kerja-kerja peringkat awal dalam bentuk imej untuk menghasilkan karya-karya yang lebih kompleks, seni halus, animasi, seni bina dan sebagainya.


2. Bentuk-bentuk ini dihasilkan menggunakan media kering seperti pensel, pen, arang, pastel dan sebagainya. Penggunaan warna amat terhad.

3. Antara pelukis-pelukis terkenal ialah Albrecht Durer dan Leonardo da Vinci yang menggabungkan matematik dan lukisan dalam kajian figura mereka.

Perbezaan Lakaran Lukisan dan Catan

1. Lakaran – merupakan proses awal lorekan ringkas dan cepat sebagai punca idea serta perkembangannya.

2. Lukisan – merupakan proses lanjutan melibatkan kerja yang lebih sistematik menggunakan jalinan, ton, cahaya, ruang dan komposisi.

3. Catan – merupakan hasil karya 2D dengan penggunaan pelbagai teknik dan bahan pewama seperti cat yang memerlukan bahantara air dan minyak.

4. Alatan dan bahan lukisan – pensel, pensel warna, arang, krayon, pastel, pen dan dakwat.

Teknik Melukis

1. Teknik garisan,
2. Teknik garisan pangkah,
3. Teknik titik,
4. Teknik lorekan dan
5. Teknik campuran.

Media Lukisan

1. Pensel

1. Dibuat daripada arang dan tanah liat.
2. Jenis keras (H) digunakan untuk melakar manakala jenis lembut (B) untuk membuat lorekan atau ton.
3. Kegelapan pensel ditentukan oleh gred pensel, kelajuan pensel semasa melukis dan tekanan pada pensel.

pensel mempunyai pelbagai saiz

saiz yang berbeza memberi kesan ton yang berbeza

Contoh-contoh lukisan pensel


Contoh lukisan pensel


2. Arang
1. Asalnya merupakan arang batang kayu yang terbakar.
2. Media yang tertua sekali.
3. Kelebihan arang ialah menghasilkan kesan gelap yan maksimum, lembut, lebih tepat dan tajam, lorekan yang pantas dan mampu melukis dalam kawasan yang luas pada masa yang singkat.
4. Teknik-teknik melukis arang ialah teknik gosokan, lorekan, basah dan memadam.

arang yang digunakan untuk melukis


arang juga dibuat seakan-akan pensel bagi memudahkan pengendalian
Beberapa jenis arang yang terdapat di pasaran

Kesan lorekkan daripada arang

Hasil karya daripada media arang

Hasil karya lukisan media arang

3. Media Pen dan ink
1. Pelbagai pen yang boleh digunakan untuk menghasilkan lukisan seperti, pen kaligrafi, pen teknikal, pen marker dan sebagainya
2. Pen-pen tersebut memberi kesan lorekan yang berbeza
3. Pen teknikal memberi kesan yang lebih halus dan terperinci

Pen teknikal beri kesan halus pada lukisan

Pen teknikal mempunyai pelbaga saiz

Pen kaligrafi juga mempunyai pelbagai saiz
lukisan media pen


Lukisan pen menggunakan teknik titik

4. Media Pastel
1. Terdapat dua jenis pastel iaitu, oil pastel dan soft pastel, kedua-duanya memberi kesan lorekkan yang berbeza.
2. Lukisan menggunakan pastel handaklah dimatikan menggunakan fixer atau pemati warna bagi menghalang dari warna tersebut tertanggal


Kesan lorekan oil pastel dan soft pastel

Oil pastel memberi kesan seperti lilin tetapi lebih lembut dari krayon

Soft pastel - seperti kapur, dan digunakan untuk menghasikan lukisan potret

lukisan media pastel

Lukisan media pastel

Asas Sebelum Melukis

1. Memilih teknik melukis.
2. Memahami perspektif dan pengaruh ruang serta cara penimbulan tiga dimensi ilusi. Gunakan tetingkap fokus untuk lukisan pemandangan.
3. Memilih objek untuk dilukis.
4. Menentukan cahaya dan sudut pandangan.
5. Membuat Lakaran objek.
6. Jenis jenis perspektif ialah perspektif satu titik lenyap, perspektif dua titik lenyap dan perspektif tiga titik lenyap.
7. Tetingkap Fokus
Merupakan sekeping kad bod yang ditebuk di bahagian tengah.
Tujuannya untuk memfokus sesuatu objek atau benda.
Memilih sudut yang menarik dan indah.
Digunakan untuk melukis di luar studio.


Pengetahuan Asas

1. Kemahiran menggunakan bahan penting. Cuba kenali watak dan sifat bahan sebelum melukis:
Pensel H adalah jenis keras dan B adalah jenis lembut. Arang untuk memberi kesan ton gelap dan legap.

2. Mengetahui asas-asas seni reka untuk mewujudkan komposisi yang baik.

3. Memahami kesan dan pengaruh cahaya serta bayang terhadap sesuatu bentuk.

Seni Anyaman

Pengenalan

Seni anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menebat pengaliran haba.

Seni anyaman dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar. Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan anyaman yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas tumbuhan ini tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan kawasan di sekitar pasir pantai.

Pelbagai rupabentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat didasarkan kepada fungsinya. Misalnya bagi masyarakat petani atau nelayan, kerja-kerja anyaman dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang digunakan sehari-harian.

Selain daripada tumbuhan jenis pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah daripada tumbuhan bertam, jenis palma engeissona tritis dan nipah. Berdasarkan bahan dan rupa bentuk anyaman yang dihasilkan, seni anyaman ini merupakan daya cipta dari kelompok masyarakat luar istana yang lebih mengutamakan nilai gunaannya. Walau bagaimanapun pada sekitar tahun 1756 hingga1794 telah terdapat penggunaan tikar Raja yang diperbuat daripada rotan tawar dan anyaman daripada bemban.

Proses menganyam disebut juga sebagai "menaja". Untuk memulakan satu-satu anyaman waktu yang baik ialah pada sebelah pagi atau malam. Dalam keadaan cuaca yang redup atau dingin, daun-daun lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan pecah. Biasanya beberapa orang melakukan anyaman ini berkelompok di halaman rumah atau beranda rumah pada waktu malam, petang atau waktu-waktu senggang pada sebelah pagi (jika kelapangan, kerana waktu pagi biasanya dipenuhi dengan kerja-kerja tertentu).

Rupa bentuk anyaman tradisi yang masih kekal penciptaan dan fungsinya hingga kini ialah tikar. Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa dahulu untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan seharian. Beberapa daripada rupa bentuk ini ialah bakul, kampit (bekas belacan), tudung saji, kembal (rombong) dan sebagainya.

Terdapat dua ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan kelarai (motif) dan corak. Istilah kelarai dikhususkan kepada motif yang "berbentuk" (selalunya unsur alam) sementara corak dimaksudkan kepada susunan warna tanpa memperlihatkan kepada susunan warna dan bentuk motif. Anyaman tanpa kelarai disebut sebagai "gadas". Terdapat kira-kira 51 jenis kelarai yang berdasarkan unsur-unsur alam semulajadi seperti unsur-unsur tumbuhan dan binatang.

Di sesetengah tempat kelarai dimaksudkan kepada anyaman yang diperbuat daripada buluh dan digunakan sebagai dinding atau penyekat ruang rumah. Sementara di sesetengah tempat lain anyaman seperti ini diperbuat daripada bahan bertam yang disebut sebagai tupas. Ciptaan kelarai atau tupas lebih kukuh, tegas dan kasar bersesuaian dengan fungsinya sebagai penyekat ruang. Tiada bukti yang jelas untuk menetapkan tarikh bermulanya penciptaan kelarai. Melalui kajian yang dibuat dapat dikatakan bahawa penciptaan kelarai dalam anyaman merupakan satu perlakuan yang telah lama berlaku.

Bunga sulam merupakan satu teknik yang terdapat dalam ragam hias anyaman di mana ia akan mencantikkan lagi hasil yang telah dibentuk. Teknik sulam adalah teknik susun susup. Kesan bentuk bunga yang dibuat lebih merupakan kesan geometri asas seperti susunan bentuk tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi.

Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Namun begitu, usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan peredaran zaman. Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan adat resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan bermutu tinggi. Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan supaya dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan bersama.

Zaman dahulu menganyam tikar, Sunyi menyepi desa terpinggir, Seni anyaman haruslah diajar, Jangan tinggal sebutan dibibir. Buluh muda mudah dilentur, Buat ampaian penyidai jala, Semangat juang belum luntur, Seni anyaman jangan dilupa.
 
BAHAN ANYAMAN
Rotan
Antara teknik pengeringan rotan adalah dengan menyandarkan batang rotan pada palang jemur. Rotan merupakan bahan yang paling digemari kerana rotan tahan lama dan mudah dibentuk. Rotan, buluh dan lidi sering dijadikan sebagai bakul, lekar dan berbagai-bagai bentuk bakul atau alat-alat menangkap ikan.

Pohon Mengkuang

Mengkuang tumbuh subur di kawasan berair tawar. Biasanya ia subur di lopak-lopak belukar atau kawasan bakau dan kawasan sawah padi yang lembab. Pohon mengkuang lebih tinggi daripada pohon pandan, tetapi mengkuang mempunyai dahan bercabang yang sedikit jika dibandingkan dengan pohon pandan. Daun mengkuang lebih kasar dan hasil anyamannya kelihatan lebih kasar dan keras.
Buluh

Antara buluh yang sering digunakan ialah buluh akan, buluh bentung, buluh minyak dan buluh gading. Buluh yang cukup tua dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Mengikut cara tradisional buluh akan direndam di dalam air selut (air tanah) bercampur asam selama satu minggu. Tetapi kini cara yang paling mudah, buluh direbus bersama soda bagi mengeluarkan kandungan gulanya. Namun begitu buluh yang direndam tetap dianggap lebih cantik dan menarik