Saturday 29 October 2011

4 Bidang PSV KBSR

Kandungan Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun dalam empat bidang kegiatan iaitu:
1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional
Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual serta menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.

1. MenggambarBidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:
1.1 Lukisan
1.2 Catan
1.3 Kolaj
1.4 Montaj
1.5 Cetakan
1.6 Resis
1.7 Gosokan
1.8 Stensilan
1.9 Percikan
1.10 Gurisan
1.11 Capan
1.12 Mozek
1.13 Poster

Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

2. Membuat Corak dan RekaanBidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti binaan, kraf dan sebagainya.
Corak terhasil daripada pelbagai teknik dan cara. Antaranya melalui kegiatan seperti:
2.1 Corak tidak terancang secara:
2.1.1 Pualaman
2.1.2 Tiupan
2.1.3 Titisan
2.1.4 Ikatan dan celupan
2.1.5 Renjisan dan percikan

2.2 Corak terancang secara:
2.2.1 Lukisan
2.2.2 Catan
2.2.3 Cetakan
2.2.4 Capan
2.2.5 Lipatan dan guntingan
2.2.6 Resis
2.2.7 Kolaj
2.2.8 Kaligrafi

Bidang ini membolehkan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.

3. Membentuk dan Membuat BinaanBidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi murid terhadap aspek seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan aspek tersebut murid dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka membentuk dan membina sesuatu model. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan juga mendedahkan murid dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan seni. Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti:
3.1 Arca timbul
3.2 Asemblaj
3.3 Mobail
3.4 Stabail
3.5 Model
3.6 Diorama
3.7 Boneka
3.8 Topeng
3.9 Origami

Kegiatan membentuk dan membuat binaan memberi peluang kepada murid membuat rujukan kepada objek sebenar. Perbandingan ini akan memberi kesedaran bahawa idea dan kreativiti mempunyai fungsi dan makna. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.

4. Mengenal Kraf Tradisional
Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang melibatkan kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi turun-temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti:
4.1 Alat domestik
4.2 Alat permainan
4.3 Alat pertahanan diri
4.4 Perhiasan diri (ornamen)
4.5 Batik
4.6 Tekat
4.7 Ukiran
4.8 Tenunan
4.9 Anyaman
4.10 Tembikar

Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam budaya tanah air. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan teknik membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi, lakonan, nyanyian dan cerita.
Batik


Sejarah
Batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Batik mula diperkenalkan di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.

Motif
Motif adalah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan.

Contoh Motif Organik:
Motif Ayam
Motif Bunga Buluh
Motif Bunga Kerak Nasi
Motif Bunga Kotak Bercampur
Motif Bunga Orkid
Motif Bunga Raya
Motif Daun Sireh
Motif Geometrik
Motif Pucuk Rebung
Motif Rama-rama
Motif Siput

Contoh Motif Geometrik:

Motif Pucuk Rebung
Motif Bunga Kotak Bercampur


Corak
Corak kain batik bermaksud bagaimana motif-motif yang dipilih dicorakkan di atas kain batik tersebut.
Antara corak-corak yang sering digunakan.

Corak Berdiri
Corak Jalur
Corak Melintang
Corak Menyeluruh
Corak Menyerong
Corak Tompok-tompok
Corak Ulangan Batu-bata
Corak Ulangan/Selang selang


Proses Membuat
Alatan yang biasanya digunakan untuk membuat batik.
Blok penerap
Campuran lilin
Kain
Pencelup
Sebuah Meja


Kain benang kapas berwarna putih merupakan yang sesuai untuk membuat batik. Selepas diterap dengan lilin pertama, ia akan dicelup dengan warna yang gelap sedikit. Setelah itu, ia akan diterap untuk kali kedua dan kemudian dicelup dengan warna yang lebih gelap. Proses ini akan diteruskan hingga habis. Kain ini akan direbus dalam air yang mengandungi soda. Apabila direbus, warna-warna yang berlainan akan kelihatan. Kain batik ini kemudiannya akan dijemur hingga kering. Kain-kain batik yang sudah kering, akan digosok, dilipat dan dibungkus untuk dipasarkan.

Penjenisan Kain Batik
Batik terbahagi kepada tiga jenis.

Batik Blok


Kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang menggunakan blok corak. Blok corak diperbuat daripada kayu atau logam. Proses ini dilakukan berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah selesai. Di mana blok itu telah dicelupkan terlebih dahulu ke dalam pewarna sebelum ditekapkan di atas kain tersebut.

Batik Conteng


Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan lilin panas di atas kain putih. Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses mewarna mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan menggunakan berus cat, dimana bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan kesan warna apabila proses mematikan warna di lakukan. Lilin akan cair dan tanggal menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng.

Batik Skrin
Batik skrin ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan batik blok dan conteng. Hanya kaedah melakar corak dan cara menerapkan warna sahaja yang berbeza. Corak batik dibentuk di atas skrin yang diperbuat daripada kain polyster yang berpengidang. Skrin dilekapkan di atas kain putih, proses pewarnaan dengan melalukan warna di atas corak tadi dengan menggunakan sekuji. Cara begini akan diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan untuk mendapatkan corak batik yang lengkap. Ini disebabkan satu skrin untuk satu warna sahaja.

Tikar Mengkuang / Pandan

Daun-daun pandan atau mengkuang yang cukup tua dipotong dari batang pokoknya sehelai demi sehelai. Kemudian pangkalnya diratakan dan hujungnya dipotong sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara sehingga layu dan dibuang tulang belakang dan durinya dengan alat yang dipanggil jangka. Cara anyaman tikar mempunyai pelbagai corak dan motif. Diantaranya adalah dikenali sebagai kelarai. Semua jenis kelarai adalah berunsurkan alam semulajadi iaitu seperti tumbuh-tumbuhan, bunga, fauna dan sebagainya.

Unsur-unsur tumbuhan seperti akar, pucuk rebung dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang) selalu digunakan. Daripada unsur bunga pula ia menggunakan motif bunga tanjung, bunga melur dan bunga durian. Unsur-unsur fauna pula ada motif berbentuk anak ikan, kepala gajah, tulang ikan dan mata punai. Akhir sekali, bentuk bebas dengan motif seperti kelarai belah ketupat, kelarai beras patah dan kelarai madu manis.

Tikar mengkuang yang lebar bilah anyamannya (tikar bangkar) biasanya diperlakukan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran, melapik punggung di dangau dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berbanding dengan tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak menarik dan berwarna-warni.

Pada kebiasaannya, tikar mengkuang/pandan yang dianyam berwarna-warni akan diletakkan di dalam bilik tidur kerana ia menyerlahkan lagi kecantikkan bilik tersebut.

Pendidikan Seni Visual

PENDAHULUAN
Pendidikan Seni Visual menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran befikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri. Pendidikan seni visual sekolah rendah Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonel dan intrapersonel. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.

MATLAMAT
Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

OBJEKTIF
Setelah mengikuti Kurikulum Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah murid boleh:
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan,
2. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan menyeronokkan,
3. menajamkan daya persepsi dan imaginasi melalui pancaindera,
4. mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya,
5. mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual.
6. membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat,
7. memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan bertanggungjawab,
8. mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air,
9. menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual, dan
10. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.


ORGANISASI KURIKULUM
Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan. Organisasi kurikulum ini merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu:
a. pemerhatian secara aktif
b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c. apresiasi seni visual secara mudah
d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
a. Pemerhatian secara aktif


Pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.

Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni di masa akan datang.

Apresiasi seni visual secara mudah Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pendidikan seni visual sekolah rendah.

Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan.